Cara saya ke Pulau Mabul, Sabah - Nothing to Somethings

Cara saya ke Pulau Mabul, Sabah

Pulau Mabul?

Cantik dan mendamaikan. Tiada ungkapan yang mampu saya luakan semasa kali pertama menjejakkan kaki ke Pulau Mabul. Airnya jernih membiru menambahkan lagi pukauan mata memandang. Lebih menarik di awal pagi dan malam anda boleh melihat kawanan ikan dan penyu berenang sekitar jeti mencari makanan. Dalam kata lain, untuk melihat penyu dan ikan anda tidak perlu snorkeling mahupun diving jauh ketengah laut tetapi cukup dengan hanya berjalan ke hujung jeti sahaja. Sekiranya anda bernasib baik, belasan ekor penyu akan berada di sekitar jeti anda. 

Mabul
Pulau Mabul

Dari segi keluasan, Pulau Mabul tidaklah besar. Dalam hal ini, saya anggarkan anda hanya perlu peruntukan masa sekitar 20-30 minit sahaja untuk mengelilingi keseluruhan Pulau Mabul. Meskipun saiz daratan Pulau Mabul agak kecil, namum semasa air laut surut anda boleh berjalan sehingga ke bahagian tengah laut. Mengikut pemerhatian saya, air laut di Pulau Mabul akan surut sebanyak 2 kali iaitu diwaktu siang (sekitar jam 12.30pm - 3pm) dan lewat malam (12.30am - 3am).

Untuk makluman, di Pulau Mabul sumber air bersihnya (fresh water) agak terhad. Sumber ini tidak mampu untuk menampung keseluruhan penggunaan air bersih di Pulau Mabul. Untuk menampung keperluan ini, sumber air bersih dari Semporna dibeli dan dibawa ke Pulau Mabul. Dalam hal ini, kebiasaanya air bersih dari Semporna hanya digunakan untuk minum dan memasak sahaja. Manalaka sumber air perigi yang berasa payau digunakan untuk membasuh dan mandi. Selain itu, air hujan turut digunakan untuk menampung penggunaan air bersih di Pulau Mabul.

Mabul
Pulau Mabul

Manakala, bagi aktiviti pelancongan, hanya terdapat beberapa resort besar sahaja yang menggunakan sepenuhnya air bersih untuk aktiviti harian. Selebihnya mereka masih bergantung kepada sumber air perigi yang payau. Secara umumnya, resort bersaiz kecil akan menggunakan sumber air perigi untuk kegunaan membasuh dan mandi sahaja.

Dari segi harga makanan, anda tidak perlu risau. Ini kerana, pada umumnya setiap resort menawarkan pakej penginapan bersama buffet makan (3 kali makan). Namun sekiranya anda ingin merasa masakan penduduk setempat anda boleh ke restoran yang berada berhampiran masjid di Pulau Mabul atau di belakang sekolah rendah. Bagi saya harga yang ditawarkan adalah berpatutan iaitu sekitar RM6 bagi sepinggan nasi yang saiznya agak besar. 

Mabul
Pulau Mabul

Manakala, bagi anda yang memerlukan makanan ringan atau air minuman semasa bercuti, anda boleh membelinya di kedai runcit sekitar Pulau Mabul. Dalam hal ini, puluhan kedai runcit berada di Pulau Mabul dan jaraknya hanya beberapa meter diantara satu sama lain. 

Bagi anda yang ingin membeli cenderahati pula anda boleh membelinya di kedai cenderahati yang berada di Kampung Sama. Salah satu pemilik kedai ini adalah warga negeri Perak yang berhijrah dan menetap di Pulau Mabul. Untuk makluman, kampung ini berada bersebelahan Water Village Resort.

Mabul
Penyu di Jeti Pulau Mabul

Note:
Bagi anda yang mempunyai anak kecil, secara peribadi saya tidak galakkan anda untuk membawa mereka bercuti ke Pulau Mabul. Ini kerana, dengan keadaan cuaca yang panas, sumber air bersih yang terhad dan jalan kampung yang agak berdebu ia mungkin akan merisikokan anak anda untuk demam/ sakit. 


Cara saya ke Pulau Mabul

1- Kuala Lumpur - Tawau

Sedia maklum, airport Tawau merupakan aiport terdekat yang boleh menghubungkan anda dengan Pulau Mabul melalui jalan udara. Dalam hal ini, bagi anda yang berada di Kuala Lumpur, untuk ke Tawau anda tidak perlu transit di Kota Kinabalu tetapi boleh menaiki penerbangan terus ke Tawau. Secara kasar masa sekitar 3 jam diperlukan dengan kadar tambang RM300 pergi dan pulang (semasa promosi). 


2- Tawau - Semporna

Memandangkan Semporna dan airport Tawau dipisahkan dengan laluan darat, untuk menghubungkan kedua-dua lokasi ini anda boleh menaiki bas atau kereta. Mengikut maklumat yang diperolehi daripada penduduk di sekitar Semporna, tambang local bas dari Tawau ke Semporna adalah sekitar RM10-15 seorang sahaja. Namun sekiranya anda bergerak dalam kumpulan saya sarankan anda untuk menempah minivan bersama pemandu. Secara kasar masa sekitar 1 jam diperlukan untuk menghubungkan kedua-dua lokasi ini.

Note:
Kebanyakkan resort di Pulau Mabul turut menyediakan perkhidmatan airport transfer di antara Tawau dan Semporna. Sebelum menempah pakej penginapan, pastikan terlebih dahulu anda bertanyakan hal tersebut. 

Mabul
Pulau Mabul

3- Semporna - Pulau Mabul

Setibanya di Semporna, anda boleh terus ke pejabat atau wakil resort bagi mendapatkan tiket bot ke Pulau Mabul. Dalam hal ini saya sarankan anda untuk membelinya melalui pejabat resort yang ingin anda menginap. Ini kerana, secara umumnya harga yang ditawarkan adalah berupa pakej yang mana merangkumi bilik penginapan, tiket bot, buffet makan (3 kali sehari) dan airport transfer.

Note: 
Bagi anda yang memiliki tiket penerbangan pulang di awal pagi, saya sarankan anda untuk keluar sehari awal dari Pulau Mabul. Ini kerana, kebiasaanya bot hanya memulakan perjalanan ke Semporna dari Pulau Mabul pada jam 9 pagi. 

Cara saya ke Pulau Mabul, Sabah Cara saya ke Pulau Mabul, Sabah Reviewed by Lah Mohd on 17:03:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.