Persiapan sebelum ke Australia - Nothing to Somethings

Persiapan sebelum ke Australia

Bercuti ke Australia?

Tidak seperti bercuti di kebanyakkan negara lain, untuk ke Australia anda perlu lakukan persedian rapi. Mana tidaknya walaupun hanya sehari anda ingin berada di Australia, anda perlu memohon visa. Dengan wujudnya isu warga Malaysia bekerja secara haram, ia merumitkan lagi proses ke Australia. Seperti diwar-warkan di media sosial, meskipun pada peringkat awal visa telah diluluskan, namun semuanya boleh berubah dalam sekelip mata di pintu perlepasan di hari penerbangan. Ini kerana, anda mungkin dihalang untuk menaiki  pesawat oleh wakil pihak kedutaan Australia sekiranya anda disyaki mencurigai. Bagi memudahkan anda, berikut saya senaraikan antara persiapan yang harus anda lakukan sebelum berlepas ke Australia.

Woolgoolga Beach

Persiapan sebelum ke Australia

1- Visa

Sedia maklum, kelulusan visa diperlukan sebelum anda dibenarkan berlepas ke Australia. Sebelum membeli tiket pastikan anda telah memiliki visa yang sah. Untuk memohon visa, anda boleh lakukannya sendiri atau melalui travel agent. Bagi saya, permohonan visa melalui travel agent adalah lebih mudah. Namun, sekiranya anda ingin lakukannya sendiri anda boleh klik pautan ini: Visa Australia. Dalam hal ini, visa yang dipohon sah bagi tempoh satu tahun. 

Mengikut pengalaman, saya telah memohon visa melalui travel agent World travel Ambassador dengan harga RM30. Selain itu, ada yang mencadangkan untuk memohon melalui Muslim Travel Bug dengan harga RM20. 


2- Pakaian

Gaya pakaian melambangkan identiti anda. Semasa hari perlepasan pastikan anda memakai pakaian yang kemas dan berkasut. Meskipun poket anda tidak tebal, elakkan berpakaian selekeh atau berselipar. Ini bagi mengelakkan anda disyaki untuk bekerja di Australia atau tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk ke Australia. 


3- Musim

Memandangkan Australia berada di himisfera Selatan, perubahan musim adalah berbeza daripada negara yang berada di himisfera Utara seperti Europe dan Jepun. Bagi saya, setiap musim mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Namun, jika ditanya pendapat peribadi, saya lebih suka bercuti pada musim luruh dan bunga sahaja. 

Secara umumnya, Australia mengalami perubahan musim pada:
i) Jun hingga Ogos - Musim Sejuk
ii) September hingga November - Musim Bunga
iii) Disember hingga Februari - Musim Panas

iv) Mac hingga Mei - Musim Luruh


4- Tiket kapal terbang

Selepas permohonan visa diluluskan, anda bolehlah membeli tiket. Sekiranya inginkan harga yang murah, pastikan anda membelinya awal. Dalam hal ini, pastikan anda membeli tiket pergi dan pulang. Ini kerana, ianya penting sebagai bukti untuk menunjukkan anda akan pulang selepas tempoh percutian anda tamat. 


5- Itinerary & dokumen perjalanan

Sedia maklum, Australia antara negara yang mempunyai peraturan imigresen yang ketat. Anda boleh diarahkan pulang sebaik sahaja anda jejakkan kaki ke Australia. Namun, untuk mengurangkan risiko ini terjadi, beberapa dokumen perjalanan haruslah disediakan dengan lengkap. Dokumen ini termasukkan tiket pulang, itinerary dan penginapan sepanjang bercuti di Australia. Dalam hal ini, disarankan untuk anda meletakkan semua dokumen ini dalam satu file yang senang diambil. 

Sekiranya anda menjadi insan terpilih, anda akan ditahan untuk disoal siasat. Pastikan anda menjawabnya dengan yakin dan sertakan bukti yang ada di tangan anda (itinerary, tiket, hotel). Mengikut pengalaman peribadi, soalan yang ditanya adalah berapa lama bercuti, berapa orang, tinggal dimana, nak ke mana dan bila balik. 

Sekiranya anda bercuti dalam kumpulan atau bersama rakan, pastikan setiap rakan anda tahu dan ingat itinerary yang dirancang. Manakala, sekiranya anda melantik ketua untuk memegang duit pastikan duit tersebut dikumpul selepas anda tiba di Australia. Ini kerana, sekiranya salah seorang ditahan, mereka boleh menunjukkan bukti jumlah wang yang dibawa. Namun, bagi percutian bersama keluarga ianya tidak menjadi masalah. 


6- Pengangkutan

Bergantung kepada jenis percutian, anda mempunyai pilihan untuk menentukan jenis kenderaan yang akan anda gunakan. Anda boleh menyewa kenderaan seperti kereta atau motorhome atau bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam disana. Sekiranya anda ingin memandu, anda boleh menggunakan lesen memandu Malaysia (i.e. berupa IC).


7- Makanan

Sedia maklum, Australian antara negara yang sangat mementingkan kawalan biosekuriti. Bagi tujuan ini, semua makanan dan barangan yang ingin dibawa masuk ke Australia harus diistiharkan. Bagi sesetengah makanan, ianya dilarang sama sekali untuk dibawa masuk. Sebagai contoh, makanan berasaskan tenusu, daging, telur, ikan, ayam, buah dan sayuran. 

Sekiranya anda ingin membawa makanan, anda harus membawa makanan siap proses yang dipek kemas dari kilang. Bagi memudahkan pemeriksaan, disarankan anda untuk meletakkan semua makanan ini berasingan daripada beg pakaian. Selain itu, sediakan senarai semua barang yang dibawa bersama kuantitinya. 


8- Ubat-ubatan

Bagi anda yang mempunyai masalah kesihatan dan perlu membawa ubat bersama, anda harus istiharkan semua ubat yang dibawa semasa ketibaan. Bagi memudahkan anda, disarankan untuk anda dapatkan surat bertulis daripada doktor tentang ubat yang dibawa. 

Manakala, bagi ketegori ubat seperti penadol, selsema ianya tidak wajib untuk di istiharkan. Namun, sekiranya anda tidak yakin anda boleh istiharkan sahaja di dalam borang yang disediakan. 
Persiapan sebelum ke Australia Persiapan sebelum ke Australia Reviewed by Lah Mohd on 21:47:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.