Persiapan sebelum bercuti ke Jepun - Nothing to Somethings

Persiapan sebelum bercuti ke Jepun

Perbezaan bahasa dan tulisan mungkin membataskan keinginan korang untuk bercuti ke Jepun. Namun tahukah korang sebenarnya penggunaan tulisan rumi (Abjad A, B, C .....) turut digunakan. Tulisan rumi biasanya digunakan untuk menunjukkan arah dan destinasi, contohnya di stesen keretapi. Meskipun penggunaan terbatas, namun ianya sangat membantu. Sebagai panduan, berikut saya kongsikan tip sekiranya korang ingin bercuti ke Jepun sendiri.

Welcome to Japan - Showa Kinen Park

Persiapan sebelum bercuti ke Jepun

1- Tiket penerbangan & destinasi

Tiket yang murah sememangnya menjadi buruan, tidak terkecuali saya sendiri. Untuk dapatkan harga yang murah korang perlulah sentiasa peka dengan promosi yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan. Selain itu, tentukan destinasi yang ingin dituju contohnya Osaka, Tokyo atau Hokaido. Ini kerana jarak diantara ketiga-tiga lokasi ini agak jauh melainkan korang merancang untuk mengembara seluruh Jepun. Dalam hal ini, disarankan untuk korang membeli tiket berdasarkan kepada lokasi yang ingin dituju.

Matsumoto Castle

2- Penginapan

Seperti kebiasaannya, penginapan bukanlah keutamaan saya. Bilik/hotel yang disewa hanyalah sekadar untuk mandi dan merehatkan badan sahaja. Bagi korang yang berkeluarga mungkin boleh pertimbangkan bilik/hotel yang lebih selesa. Dalam hal ini, sebelum menempah bilik pastikan lokasinya berdekatan dengan stesen kereta api. Ini bagi memudahkan dan melancarkan pergerakkan korang sepanjang percutian.

Note: Untuk dapatkan harga yang murah korang boleh pilih bilik/hotel yang berada di kawasan kurang tumpuan.

Pemandangan di Matsumoto

3- Internet

Bagi korang yang bercuti sendiri, amatlah disaran untuk korang membeli simkad atau menyewa poket wifi.  Ini kerana, dengan adanya internet korang boleh mencari atau menentukan arah atau laluan ke tempat menarik, melihat jadual perjalanan train/bus, menentukan arah kiblat dan banyak lagi.



4- Pengangkutan - JR pass

JR Pass

JR Pass tersangatlah disarankan untuk korang membelinya sebelum bercuti ke Jepun. Ini kerana JR Pass sangat membantu terutamanya sekiranya korang ingin bergerak dalam jarak yang jauh atau banyak lokasi. Dengan adanya JR Pass korang boleh menaiki semua kereta api yang ada di dalam pakej secara percuma. Tapi harus di ingat, hanya laluan kereta api yang ada di dalam pakej boleh dinaiki secara percuma. Sekiranya tiada dalam pakej, korang perlu membeli tiket di sana dengan menggunakan mesin layan diri.

Untuk makluman korang JR Pass tidak boleh ditukar milik kerana di setiap pas ditulis nama dan nombor passport. Hari penggunaannya pula fleksibel dan tidak perlu berturutan. Contoh, rujuk pada tarikh gambar di atas.

Note: JR Pass hanya boleh dibeli di luar Jepun. Setibanya di Jepun korang boleh terus menebusnya dengan membawa salinan tempahan dan passport. 

5- Tempat menarik

Ladang Apple di Matsumoto

Mengikut pemerhatian saya, keindahan alam semulajadi (perubahan warna daun di musim luruh) lebih terserlah di kawasan pinggir bandar. Sekiranya keutamaan korang adalah untuk melihat keindahan alam semulajadi, elakkan dari berada di bandar besar seperti Tokyo. Ini kerana, selain dapat mengelakkan kesesakan di kawasan tumpuan, korang akan lebih selesa untuk bergambar memandangkan jumlah pengunjung yang tidak terlalu ramai. 

6- Duit poket

Bagi saya, duit poket terlalu sukar untuk ditentukan. Jumlah yang ideal bergantung kepada citarasa korang. Sekiranya korang merancang untuk berbelanja, korang perlulah membawanya dalam kuantiti yang banyak. Namun, sekiranya tujuan utama adalah untuk melihat keindahan alam semulajadi, duit poket yang perlu disediakan hanya cukup untuk perkara di luar jangka sahaja atau untuk membeli cenderahati. 

Note: Duit poket yang dimaksudkan tidak termasuk duit makan, penginapan, pengangkutan, bayaran masuk tempat menarik dan lain-lain perbelanjaan wajib. 

7- Makanan halal

Harga makanan di Jepun

Bagi kawasan luar bandar, restoran halal boleh dikatakan agak sukar untuk ditemui. Sebagai altenatif, korang boleh mengambil makanan berasaskan tumbuhan ataupun membeli nasi segera (nasi putih) di 7 Eleven. Dalam hal ini, disarankan juga untuk korang membawa makanan segera dari Malaysia seperti Maggi, biskut, roti atau serunding (untuk dimakan bersama nasi putih yang dibeli di 7 Eleven).

Note: Secara kasar, kos untuk satu set makan di restoran sekitar ¥600 - ¥1200.

8- Pakaian

Pakaian yang sesuai bergantung kepada musim kunjungan. Sekiranya korang bercuti di musim luruh atau bunga dan berada di kawasan pergunungan, disarankan juga untuk korang membawa pakaian tebal untuk digunakan apabila berlaku perubahan cuaca yang tidak dijangka. Mengikut pengalaman semasa bercuti di Jepun pada musim luruh 2017, pada malam hari suhu di Matsumoto turun sehingga 0 berbanding bandar Tokyo sekitar 10. 

9- Saiz beg

Loker menyimpan barang di Jepun

Beg yang bersesuaian penting sekiranya korang ingin bercuti atau mengembara dengan selesa. Ini kerana, sekiranya korang ingin menggunakan pengangkutan awam, korang perlu banyak berjalan. Untuk makluman korang, di setiap stesen kereta api korang perlu turun dan naik tangga yang adalanya bertingkat tingginya selain jumlah penumpang yang ramai (terutamaya di stesen utama).

Selain itu, bagi beg bersaiz besar korang mungkin akan berhadapan dengan masalah sekiranya korang ingin menyimpan beg di loker stesen kereta api memandangkan loker untuk beg bersaiz besar sangatlah terhad. Kebanyakan loker yang disediakan sesuai untk beg bersaiz 24' dan kebawah. 

Note:
1- Luggage biasanya diketegorikan kepada 3 saiz = 20', 24' & 28'. Saiz ideal 24' dan kebawah.
2- Harga loker sekitar ¥300 - ¥600 bergantung kepada saiz (harga untuk sekali guna).

10- Tandas

Tandas duduk di Jepun

Memandangkan Jepun terkenal dengan pembangunan teknologi, maka tandasnya turut dilengkapi dengan teknologi terkini. Dalam hal ini, tandas duduk dilengkapi pemanas yang mana akan berfungsi secara automatik apabila menerima sentuhan kulit.

Selain itu, setiap fungsi dilengkapi dengan butang-butang arahan contohnya, flush dan mencuci. Dalam hal ini korang perlu berhati-hati agar tidak menekan butang yang salah. Sebagai panduan korang boleh rujuk gambar di atas.

Selamat bercuti...
Persiapan sebelum bercuti ke Jepun Persiapan sebelum bercuti ke Jepun Reviewed by Lah Mohd on 21:03:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.